KAUM MURUT

PENGENALAN

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera kepada pembaca theonlyguysdat1a.blogspot.com. Kami pelajar DAT1 S1 ditugaskan untuk membuat E-Folio DUB1012-PENGAJIAN MALAYSIA,tentang Masyarakat Tempatan di Malaysia. Fokus utama kami adalah masyarakat kaum Murut di Sabah.

LATAR BELAKANG



Kaum Murut merupakan antara suku kaum yang unik dan mencatatkan lebih kurang 3.0% atau 50,000 orang daripada penduduk Sabah. Kaum ini terdiri daripada banyak kumpulan yang menggunakan 15 jenis bahasa dan 21 dialek asal Murut. Namun demikian bahasa Murut  yang biasanya difahami ialah Taggal yang lebih menyerupai bahasa Kadazan Dusun. Elemen bahasa ini boleh ditemui di Visaya (di Sarawak), Brunei dan kaum Kelabit di Kalimantan. Bahasa Murut merupakan antara bahasa asli pulau Borneo yang masih kekal hingga kini. 

Kaum etnik Murut boleh ditemui kebanyakkannya di Keningau, Tenom, Pensiangan, Kalabakan dan Kinabatangan. Ini menjadikan kaum Murut di antara kaum etnik minoriti Sabah. Walaupun begitu, penduduk berketurunan Murut juga boleh didapati di Brunei, Sarawak dan Kalimantan kesemuanya berdekatan sempadan kawasan tersebut. Bahasa kaum ini didapati digunakan oleh pelbagai suku kaum dan satu-satunya bahasa di Sabah yang mempunyai keistimewaan sebegitu. Kepelbagaian jenis 'sub-kaum' Murut ini sememangnya mengelirukan pelbagai pihak kerana masih banyak orang-orang Murut yang tinggal jauh di pedalaman. Kini, suku kaum ini telah berkembang maju dan sebuah parti khas kaum Murut telah ditubuhkan di Sabah untuk memperjuangkan hak mereka.


^Tenom - kawasan paling banyak masyarakat Murut

Kaum Murut merupakan antara kaum mojoriti di Sabah dan merupakan suku kaum yang tertua di Sabah, mereka dipercayai datang dari Annam, Indo-China dan sampai ke Sabah melalui kepulauan Filipina. Perkataan Murut bermaksud dan merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng-lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman Sabah. Kaum Murut biasanya tinggal di beberapa daerah seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan, dan Kinabatangan.

ADAT ISTIADAT

PERKAHWINAN



Adat dalam perkahwinan, kebanyakan masyarakat Murut berkahwin dalam usia yang masih muda iaitu sekitar 13 tahun bagi anak perempuan dan 15 hingga 18 tahun bagi anak lelaki. Perkahwinan dalam usia muda ini hanya diamalkan oleh orang-orang terdahulu, sekarang anak-anak muda lebih memikirkan masa depan diri dan keluarga dengan pelajaran dan pekerjaaan. Berbalik kepada adat tadi, ibu bapa yang akan bertanggungjawab dalam memilih pasangan hidup anak-anak mereka. Dalam perkahwinan kaum Murut mereka mengamalkan sistem ‘barian’ atau hantaran sampai mati yang bertujuan untuk mengukuhkan pertalian antara keluarga kedua-dua belah pihak. Jika amalan ini tidak diikuti, pengantin lelaki akan menerima hukuman atau risiko yang berat iaitu akan dipisahkan daripada isterinya atas arahan ketua adat.

Adat istiadat majlis perkahwinan orang Murut lazimnya akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Kelazimannya upacara perkahwinan dilangsungkan selama lima hari berturut-turut. Tiga hari yang pertama dijalankan di rumah pengantin perempuan manakala hari selebihnya dilangsungkan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan akan memakai pakaian asli gadis Murut dan berhias cantik pada hari tersebut. Sekumpulan gadis yang dikenali sebagai tambuloi dipertanggungjawabkan untuk menghias pengantin perempuan. Setelah bersiap, pengantin perempuan duduk di dalam sebuah bilik khas yang ditabiri beberapa helai kain dari jenis yang mahal. Seterusnya, ibu bapa pengantin lelaki akan masuk untuk membawa menantu mereka keluar. Tetapi sebelum itu, mereka perlu membayar harga kain yang menabiri pintu bilik tersebut dengan nilai yang telah dibuat dengan ibu bapa pengantin perempuan dahulu. Setelah selesai, pengantin perempuan dibawa keluar dan dipersilakan menjamah seberapa banyak tapai yang disukainya.

Kemudian pengantin perempuan dibawa keluar dan rumahnya untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki. Ketika itu pukulan 'egal' iaitu pukulan gong besar dan gong kecil akan didendangkan. Pukulan istimewa ini dipalu untuk memberi semangat selamat jalan kepada pengantin perempuan. Pada masa inilah berlaku tangis-tangisan di pihak pengantin perempuan kerana sedih dengan perpisahan itu. Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dijauhi ketika rombongan pengantin berangkat ke rumah pengantin lelaki.

Antara pantang larangnya adalah seperti berikut, jika cuaca dalam keadaan mendung, pengantin perempuan perlu menangguhkan kepergiannya ke rumah pengantin lelaki sehingga cuaca cerah. Ini kerana mereka percaya bahawa jika pengantin terkena air hujan pada hari pernikahannya akan mudah dijangkiti penyakit. Selain itu, jika berlaku kematian secara tiba-tiba dihari perkahwinan tersebut, keberangkatan pengantin terpaksa ditangguhkan sehingga esok hari, Sewaktu kedua-dua pengantin menuruni tangga dan meninggalkan rumah, mereka akan dilarang untuk menoleh ke belakang dan jika adat ini dilanggar mereka percaya salah seorang keluarga pihak perempuan akan berkahwin dengan keluarga pengantin lelaki.

Disamping itu, mengikut adat perkahwinan kaum Murut juga, jika pengantin melalui jalan sungai pengantin mestilah diangkat kerana jika terkena air dibimbangi anak sulung pasangan pegantin tersebut akan mati. Selepas genap seminggu pengantin perempuan berada di rumah pengantin lelaki, pengantin perempuan akan kembali ke rumah ibu bapanya untuk mengambil barang-barang kepunyaannya yang masih belum dibawa ke rumah pengantin lelaki. Setelah beberapa bulan, kedua pengantin akan kembali ke rumah ibu bapa perempuan selama empat hari dan pasangan pengantin ini akan balik semula ke rumah ibu bapa pengantin lelaki untuk menetap di sana buat selama-lamanya.


KEMATIAN


Dalam masyarakat Murut, mereka akan melakukan pengebumian mayat bergantung kepada punca kematian seseorang. Bagi mengelakkan sebarang musibah atau bencana mereka akan menjalankan pengebumian dengan tertib dan teratur mengikut adat yang diwarisi. Dalam masyarakat Murut, terdapat tiga proses pengebumian iaitu, semasa kematian, pengebumian dan selepas pengebumian.

Semasa proses kematian, ahli keluarga si mati akan memukul gong bagi memberitahu orang kampung adanya kematian dalam keluarga mereka. Semua perlu berhenti daripada melakukan aktiviti masing-masing sepanjang gong dipukul bagi menghormati si mati dan keluargaanya. Sesiapa yang tidak berhenti dari pekerjaan atau aktiviti yang dilakukan ketika gong dibunyikan akan dikenakan denda dan hukuman iaitu dengan memberi seekor babi kepada keluarga si mati. Mayat akan dimandikan dan dipakaikan pakaian baju dan dihias dengan cantik. Selama dua hari mayat akan disimpan di dalam rumah sebelum dimasukkan ke dalam tajau iaitu bangkalan kaum Murut.

Selepas di masukkan ke dalam tajau, tajau akan ditutup dengan papan kayu dan akan dinyalakan lampu kecil diatasnya bertujuan untuk menakutkan hantu atau syaitan yang cuba menganggu. Pada jam 12.00 tengah malam tajau akan dikeluarkan dan pada ketika itu semua ahli keluarga perlu menangis-nangis sambil mengelilingi tajau tersebut. Pada hari seterusnya pula, kaum lelaki akan pergi ke tanah perkuburan untuk membaiki rumah perkuburan sekiranya terdapat kerosakkan.

Sebagai tanda menghormati malam terakhir si mati berada di rumah, keluarga si mati akan bersuka ria. Keesokan harinya, tajau mayat akan diusung dengan menggunakan usungan kayu ke tanah perkuburan. Ketika ini, ahli keluarga perempuan si mati akan menangis kerana mereka percaya akan roh si mati akan selamat ke syurga dan bertujuan mengucap selamat jalan.

Proses kedua iaitu semasa pengebumian, tajau akan dihantar ke tapak pengebumian dan gong akan dibunyikan di sepanjang jalan yang dilalui sebagai tanda penghormatan. Tajau tersebut akan dihiasi dengan beraneka manik yang berwarna dan dipaku dengan kayu yang diukir. Pada ketika ini juga mereka akan mengadakan majlis makan-makan dan bersuka ria.

Proses terakhir dalam proses pengebumian kaum Murut ialah selepas pengebumian, tiga potong bara akan diletakkan oleh ahli keluarga si mati setelah empat hari tajau dikebumikan. Walau begitu, bara ini tidak akan dibiarkan nyala dan akan dikawal oleh keluarga si mati, supaya roh si mati tidak dapat meniup api, mengikut kepercayaan mereka sekitanya si mati dapat meniup api sehingga menyala, rumah yang didiami oleh keluarga si mati akan tertimpa bencana. Adat menolak bala akan diadakan bagi menandakan pantang larang adat kematian sudah selesai.
Adat kematian ini dijalankan oleh suku kaum Murut yang tinggal di pedalaman Sabah dan sehingga kini dipercayai masih diamalkan oleh beberapa sub-kumpulan suku kaum Murut yang masih terdapat di Sabah.


KELAHIRAN



Adat kelahiran, semasa mengandung dan melahirkan tiada sebarang adat resam dan pantang larang khusus yang diamalkan oleh masyarakat Murut. Namun begitu, terdapat beberapa pantang larang yang diamalkan selepas bayi lahir iaitu dari segi pemberian nama. Bagi masyarakat Murut, bayi yang beru dilahirkan tidak akan diberikan nama dengan serta merta bagi mengelakkan sebarang perkara buruk menimpa bayi tersebut. Mengikut kepercayaan terdahulu, kebanyakan nama yang diberikan adalah berdasarkan nama alam semulajadi atau diambil sempena sesuatu peristiwa tertentu yang dirasakan penting. Nama masyarakat Murut juga berkemungkinan kerap ditukar beberapa kali dan kekerapan ini bergantung kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka seperti kerap sakit atau ada orang yang meninggal dunia dan memiliki nama yang sama.


PAKAIAN TRADISIONAL

LELAKI



Dikenali dengan pakaian puputul yang diperbuat daripada kulit kayu.
Babaru puputul dipotong mengikut kepanjangan fesyen jaket.
Aba puputul-cawat sepanjang dua meter diperbuat daripada isi kayu.
Tupi sinulatan-perhiasan kepala pula diberbuat  daripada kulit kayu.


WANITA



Pakaian mereka terkenal dengan pakaian pinongkolo iaitu baju dan gaunyang panjang berwarna hitam yang dihiasi dengan manik-manik.
Antara contoh lain bagi pakaian wanita untuk Kaum Murut ialahpipirot,salupai,sinikot,rarangkol dan holong


TARIAN

LANSARAN



Tarian lansaran merupakan tarian yang amat terkenal dalam suku kaum Murut. Kebiasaannya, tarian ini hanya dilakukan di lantai khas yang berukuran kira-kira 81 kaki persegi. Lokasi lantai khas terletak di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun seperti "spring". Dalam tarian ini terdapat sekumpulan penari lelaki dan perempuan. Kaum perempuan akan memakai pakaian tradisional warna hitam dan hiasan manik-manik yang berwarna-warni. Bagi kaum lelaki mereka akan memakai topi berbulu burung serta pakaian diperbuat daripada kulit kayu bercampur kain berwarna. Dalam tarian ini, penari akan membuat satu bulatan sambil melonjak-lonjak di atas lantai lansaran dengan diringi oleh bunyi hentakan susunan kayu bulat di bahagian bawah lantai lansaran. Selain itu, penari lelaki akan melonjak ke atas untuk mencapai "kinkilat" yang digantung di bahagian atas sambil bersorak tanda gagah. Pengakhiran tarian Lansaran ini ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim antara mereka. Pada masa dahulu, tarian ini diadakan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran.


MANSAYAU



Tarian Mansayau ini dilakukan oleh suku kaum Murut di Limbawan. Kebiasannya tarian ritual ini dipersembahkan di majlis-majlis perkahwinan, hari-hari kelepasan am suku kaum Murut seperti hari Pesta Menuai Padi. Tarian ini akan diiringi dengan pukulan sembilan biji gong, sebuah gendang dan satu set bakakung atau kulintangan.Alat-alat yang terdapat dalam tarian ini akan dipalu mengikut rentak-rentak tertentu dan yang lazim dimainkan ialah pukulan benama magadang. Melalui tarian ini,ragam-ragam tarian tidak terhad kepada satu bentuk sahaja dan boleh ditarikan oleh sepasang penari (lelaki dan wanita). Bagi konteks pakian pula, penari lelaki aka memakai pakian yang dipanggil bangkad dan abagsementara pakaian wanita pula dipanggil linambongan dan pinangkit.


PERAYAAN MANSISIA



Perayaan Mansisia dikenali Hari Pesta Menuai dalam bahasa Murut iaitu "OROU NAPANGAAN NANANTAB". Walau bagaimanapun nama sebenar perayaan selepas menuai bagi suku kaum Murut adalah " Mansisia". Sebelum perayaan tersebut diadakan, setiap keluarga akan menyumbangkan beras hasil dari titik peluh mereka kepada Ketua Masyarakat ( Penghulu ). Beras akan dimasak samada dibuat tapai atau untuk nasi. Selain itu,mereka juga akan menyumbangkan wang untuk membeli lauk-pauk semasa perayaan. Setelah hari Mansisia menjelang, semua penduduk kampung akan menghadiri jamuan makan/minum di Tulus (Rumah Panjang) atau di Rumah Ketua Masyarakat jika kampung berkenaan tidak mempunyai " Tulus". Salah satu acara rasmi yang akan berlangsung dalam perayaan tersebut adalah meminum tapai yang dipanggil " Pansisiaan". Semua penduduk kampung dikehendaki meminum tapai tersebut sebagai satu tradisi ( adat ). Pada masa yang sama, perayaan Mansisia ini akan membuat semua penduduk kampung dapat menikmati hasil tuaian setiap keluarga memandangkan beras yang disumbangkan sebelumnya dicampur-gaulkan sebelum dimasak. Antara tujuan perayaan Mansisia ini dilakukan adalah sebagai hari kesyukuran dan bersukaria. Hari tersebut juga dianggap sebagai hari Kelepasan Am bagi para petani. Kebiasanya perayaan tersebut dilengkapi dengan beberapa acara yang menarik seperti persembahan kebudayaan, minum tapai dan bermacam-macam lagi sesuai dengan suasana sambutan " Mansisia ".


KEPERCAYAAN

  • Animisme-menganggap setiap benda dalam alam seperti batu, pokok,dan sungai mempunyai semangat.
  • Gunung Amtulai iaitu Gunung Aru atau Gunung Hantu dianggap tempat suci.
  • Kepercayaan Aki Kopuno-kuasa yang mencipta segala-gala dalam dunia.
  • Mempercayai bomoh boleh berhubung dengan kuasa ghaib yang dipanggil "Babalian".


PENGHARGAAN

Di akhir warta ini, kami ingin mengekspresikan ribuan terima kasih kepada pensyarah DUB 1012 - PENGAJIAN MALAYSIA, Puan Zainab Mohamad Ahmad yang telah mengorbankan masa dan tenaga beliau dalam memberi tunjuk ajar dalam usaha menghasilkan e-Folio ini. Tidak lupa juga rakan seperjuangan yang turut berkongsi ilmu dan idea kepada kami sepanjang tempoh penghasilan ini. Semoga ilmu yang diberi bermanfaat. Sekian, terima kasih.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

==RUJUKAN==

Comments

Popular posts from this blog

Kaum Murut